Sebatian-sebatian sebelum 1962 Sebatian_gas_adi

Sebelum 1962, satu-satunya sebatian-sebatian gas adi yang berjaya diasingkan ialah sebatian-sebatian klatrat (termasuk hidrat-hidrat klatrat). Sebatian-sebatian lain seperti sebatian koordinasi telah diperhatikan melalui cara-cara stereoskopik.

Klatrat

Klatrat (juga dikenali sebagai sebatian sangkar) adalah sebatian gas-gas adi di mana gas-gas adi ini diperangkap di dalam rongga-rongga kekisi kristal sesetengah bahan-bahan organik dan bukan organik. Keadaan yang perlu untuk membentuk sebatian jenis ini ialah saiz atom tetamu (gas adi) mestilah sesuai untuk dimuatkan ke dalam rongga-rongga kekisi kristal perumah. Misalnya, Ar, Kr dan Xe boleh membentuk klatrat dengan β-kuinol, tetapi He dan Ne tidak boleh kerana saiz mereka terlalu kecil.

Klatrat telah digunakan untuk mengasingkan He dan Ne daripada Ar, Kr dan Xe, dan juga untuk pengangkutan Ar, Kr dan Xe. Selain itu, klatrat 85Kr memberikan sumber selamat untuk zarah beta, dan klatrat 133Xe memberikan sumber yang selamat untuk sinar gama.

Atom-atom gas adi seperti Kr dan Xe boleh muncul sebagai tetamu di dalam kristal melanoflogit.

Sebatian koordinasi

Sebatian koordinasi seperti Ar·BF3 telah dipostulatkan kewujudannya pada suhu rendah, tetapi ini tidak pernah dipastikan. Selain itu, sebatian-sebatian seperti WHe2 dan HgHe2 dilaporkan pernah terbentuk melalui perlanggaran elektron, tetapi kajian terkini menunjukkan yang ini mungkin disebabkan oleh He yang dijerap pada permukaan logam itu. Oleh itu, sebatian-sebatian ini tidak boleh dianggap sebagai sebatian kimia yang sebenar.

Hidrat

Hidrat-hidrat dibentuk dengan memampatkan gas-gas adi di dalam air. Dipercayai yang molekul air, yang merupakan satu bahan dwikutub yang kuat, mengenakan dwikutub yang lemah kepada atom-atom gas adi dan menyebabkan interaksi dwikutub-dwikutub. Atom-atom yang lebih berat lebih dipengaruhi daripada atom-atom yang lebih kecil, oleh itu, Xe·6H2O ialah hidrat yang paling stabil. Namun, kewujudan sebatian-sebatian ini telah dipertikaikan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.